3 Jan 2017

Fungsi Bahasa Melayu :)

Fungsi bahasa melayu


Bahasa Melayu semenjak zaman Empayar Sriwijaya telah memainkan peranannya sebagai bahasa lingua franca di nusantara secara berterusan sampai sekarang. Penjajahan kuasa asing tidak menjejaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca. Ciri ketahanan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu mempunyai potensi untuk terus berkembang pada masa akan datang.
Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu digerakkan serentak dengan perjuangan membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan; yang akhirnya kejayaan tercapai dengan termaktubnya, Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut “Bahasa Kebangsaan Negara ini ialah bahasa Melayu”.
Sebagai bahasa kebangsaan negara baru yang berdaulat, bahasa Melayu ditambah peranan atau fungsinya sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa urusan perniagaan dan bahasa komunikasi. Pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu akan melahirkan rasa cinta  terhadap bahasa Melayu. Hal ini akan mendorong kita untuk mempelajari, menghayati, menguasai, dan menggunakannya dengan berkesan. Selain itu, sebagai rakyat Malaysia akan berasa bangga terhadap bahasa kebanggaan negara kerana bahasa ini merupakan lambang jati diri dan kedaulatan negara. Sesungguhnya, pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu ini dapat mewujudkan persefahaman pemikiran dan tindak-tanduk kita dalam kehidupan seharian.

Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan



Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang dapat memperlihatkan identiti nasional dan lambang bagi sesuatu bangsa atau negara. Kedaulatan bahasa Melayu muncul kembali apabila bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia, Indonesia, Negara Brunei Darussalam dan Singapura. Bahasa kebangsaan mempunyai kaitan rapat  dengan sejarah bangsa dan negara itu sendiri. Setiap negara yang merdeka perlu memiliki bahasa kebangsaan yang dapat melambangkan identiti bangsa dan negara tersebut. Sesuatu bahasa itu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan melalui penggubalan undang-undang.



Fungsi utama bahasa kebangsaan secara khusus adalah  



  • Untuk menyerlahkan lambang inspirasi dan semangat kebangsaan dan kemerdekaan.

  • Bahasa kebangsaan juga dapat bertindak sebagai alat perhubungan dan seterusnya akan menghasilkan satu kumpulan besar masyarakat yang mempunyai pandangan hidup yang hampir sama.
  • Bahasa kebangsaan juga adalah digunakan untuk perpaduan dalam kalangan warganegara kerana mempunyai masyarakat yang berbilang kaum.                                                                                  
Bahasa melayu sebagai bahasa ilmu

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu  bermaksud fungsi bahasa bahasa Melayu sebagai pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat menyampaikan ilmu pengetahuan moden, iaitu :
  • ilmu sains 
  • teknologi 
  • ekonomi
  • kejuteraan
  • kedoktoran 
  • undang-undang di samping sastera dan agama. 

Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu perlu mempunyai ciri keintelektualan bahasa dan kesempurnaan bahasa. Keintelektualan bahasa ini dapat dicapai, terutamanya melalui perbendaharaan kata dan sistem tatabahasa. 

Sistem tatabahasa pula merujuk kepada segala aspek tatabahasa sama ada ayat, klausa, frasa, ejaan, sebutan dan seumpamanya. Penekanan harus diberi kepada aspek imbuhan dan ejaan kerana kesilapan dalam penggunaannya boleh mengubah maksud sebenar sesuatu ayat yang dihasilkan itu.


Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar





Dengan tercatatnya dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Penyata Razak (1956), usaha untuk mencapai tujuan ini telah mula dijalankan. Mulai tahun 1958, bahasa Melayu yang dahulunya digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah Melayu hingga ke peringkat darjah VI telah digunakan sebagai bahasa pengantar di kelas menengah Melayu yang kemudiannya menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan.



Kepentingan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan juga sebagai satu mata pelajaran diperkuatkan lagi dalam sistem peperiksaan dengan menjadikan kelulusan dalam mata pelajaran bahasa Melayu sebagai syarat untuk mendapatkan sijil


Bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar utama untuk kursus perguruan sekolah rendah dan mulai tahun 1973, semua maktab perguruan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar  dalam hampir semua kursus.



Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Perpaduan



Sepanjang bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa lingua franca dari zaman Sriwijaya hingga hari ini, bahasa Melayu telah berperanan sebagai alat perpaduan. Pada masa Sriwijaya berkuasa, kemudian diikuti pula oleh Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Johor-Riau, bahasa Melayu telah menjadi alat perpaduan yang menyatupadukan suku-suku bangsa di Nusantara. Pada masa penjajahan Inggeris dan Belanda, bahasa Melayu masih memainkan peranan sebagai bahasa perpaduan. Apabila Malaysia dan Indonesia didatangi oleh suku-suku bangsa yang bukan serumpun dengan suku-suku bangsa di Nusantara, iaitu Cina dan India, sekali lagi bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa perpaduan. Bangsa-bangsa pendatang ini bersedia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan antara pelbagai kaum di Malaysia.

Penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan oleh semua kaum adalah suatu tanda bahawa mereka menerima konsep bahasa Melayu sebagai bahasa yang dapat menyatupadukan masyarakat Malaysia. Mereka menerima bahawa bahasa Melayu patut dipelajari oleh semua kaum agar mereka dapat berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain. Oleh itu, mata pelajaran bahasa Melayu diwajibkan kepada semua pelajar pada semua peringkat sekolah, sebaik sahaja bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan Malaysia. Oleh itu, bahasa Melayu bertindak sebagai alat yang menghubungkan penutur-penutur daripada berbagai-bagai bangsa dan berupaya untuk menyatupadukan bangsa yang dikenal sebagai bangsa Malaysia.




Bahasa Melayu sebagai Bahasa Komunikasi



Komunikasi bermaksud perhubungan antara orang dengan orang atau antara organisasi dengan organisasi, dengan menggunakan bahasa atau isyarat. Komunikasi ini boleh berbentuk lisan atau tulisan dalam erti kata yang tradisional. Sebaliknya, pada zaman serba canggih ini, komunikasi boleh mengambil bentuk-bentuk yang berbeza. Sebagai contoh, filem dapat menjadi alat komunikasi yang sangat berkesan. Cerita yang dipaparkan dapat menimbulkan pelbagai perasaan dan emosi. Oleh itu, sesebuah filem dapat menaikkan imej seseorang atau sesebuah negara ataupun sebaliknya. P. Ramlee, melalui filem-filemnya telah meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mampu merentasi batasan bangsa dan budaya dan telah diterima oleh mesyarakat pada ketika itu sehingga kini. Bahasa Melayu dalam konteks komunikasi tradisional telah memainkan peranannya sebagai bahasa lingua franca semenjak zaman Empayar Sriwijaya lagi. Pada hari ini, hampir semua rakyat Malaysia dapat berkomunikasi dengan menggunakan bahasa kebangsaan kita. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa dalam semua bentuk komunikasi secara meluas melainkan dalam sektor swasta.Bahasa Melayu sebenarnya mempunyai potensi untuk menjadi bahasa antarabangsa kerana empat buah negara Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.


“Era digital”, “dunia tanpa sempadan”, dan “global” adalah istilah-istilah yang menggambarkan senario masa depan dunia. Era baru ini dapat dijadikan jentera untuk memperkaya sesuatu bahasa dan memperkenalkannya ke seluruh dunia. Satu daripada cara untuk memperkenalkannya ke seluruh dunia adalah dengan menggunakan Internet. Pada masa yang sama, bahasa Melayu dapat diperkenalkan melalui program “Belajar Bahasa Melayu” melalui internet.

Bahasa melayu sebagai bahasa rasmi


Bahasa rasmi merupakan bahasa yang diberikan status sedemikian secara sah oleh sesebuah negara, negeri atau wilayah. Bahasa rasmi merupakan bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi seperti dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan, urusan perdagangan dan perusahaan, kehakiman, upacara rasmi dan antarabangsa. Bagi sesetengah negara, bahasa rasmi digunakan oleh kerajaan dan pemerintah dalam dokumen rasmi kerajaan berbanding penggunaan bahasa kebangsaan.
Dalam konteks Malaysia, bahasa rasmi bererti pelaksanaan bahasa Melayu sebagai wahana pembinaan negara dalam semua urusan, terutama urusan pentadbiran negara. Bahasa rasmi merupakan bahasa yang dipilih untuk tujuan urusan seharian negara dan fungsinya pula dapat memenuhi beberapa kegiatan pada peringkat kenegaraan seperti:

i.   Bahasa lisan para pegawai kerajaan sewaktu menjalankan tugas-tugas rasmi negara 
ii.            Media dalam segala urusan surat-menyurat dalam dan antara jabatan.
iii.           Penulisan dokumen dan rekod kerajaan.
iv.           Media untuk menulis semula undang-undang dan peraturan negara.
v.            Penulisan semua jenis borang urusan rasmi kerajaan.

Bahasa Melayu yang dipilih sebagai bahasa kebangsaan namun bahasa Inggeris masih digunakan secara rasmi antara tahun 1957 hingga 1967.  Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia melalui penggubalan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yang mula berkuat kuasa pada April 1963. Akta ini mengandungi tiga seksyen yang meliputi aspek-aspek tulisan, bentuk angka dan bahasa yang digunakan dalam borang rasmi kerajaan. Pada tahun 1967, Akta Bahasa Kebangsaan diluluskan dan mula berkuat kuasa oada 1 September 1967 di Semenanjung Malaysia. Akta ini kemudian disemak dan akhirnya disatukan dengan Akat Bahasa Kebangsaan 1063 dan dikenali sebagai Akta Bahasa Kebangsaan 1967.
Kedua-dua akta ini jelas menunjukkan tentang bahasa Melayu yang dipilih  sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bagi kegunaan masyarakat. Akta bahasa kebangsaan 1967 memperuntukkan bahawa selepas 1 September 1967, bahasa Melayu hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi, kecuali kes tertentu seperti undang-undang yang sedia ditulis dalam bahasa Inggeris, perhubungan antarabangsa, hubungan diplomatik dan sebagainya. Penekanan tentang penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi ini semakin mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.


DASAR BAHASA



Dasar bahasa ialah pendirian kerajaan terhadap bahasa negara. Bagi negara Malaysia, bahasa Melayu adalah bahasa utama dan menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Melalui dasar ini, kerajaan akan melakukan langkah-langkah susulan untuk mengukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan itu melalui propaganda, pembinaan dan perluasan penggunaan bahasa tersebut.
Dari segi sejarah, dasar bahasa negara dibentuk hasil kompromi parti UMNO, MCA dan MIC sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan dahulu.
Terdapat banyak kaum di Malaysia namun Bahasa Melayu diakui sebagai bahasa yang paling banyak dipertuturkan, menjadi bahasa ‘lingua-franca’ (perantaraan) dan merupakan bahasa penduduk asal Tanah Melayu.
Bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang paling sesuai dijadikan identiti Tanah Malayu yang bakal merdeka pada masa itu.
Di atas ketiga-tiga aspek inilah bahasa Melayu dilihat sebagai bahasa yang paling sesuai menjadi bahasa utama negara.




Masalah yang dihadapi kini dalam melaksanakan dasar bahasa

Dalam mencapai kesepakatan untuk melaksanakan dasar bahasa negara, terdapat pelbagai masalah pada masa itu. Masalah-masalah tersebut adalah seperti berikut:

a)     Semangat dan kesungguhan yang belum cukup mantap dalam penggunaan bahasa Melayu. Sebagai buktinya, bahasa Melayu kehilangan tempat dan peranan dalam majlis-majlis rasmi. Dalam majlis-majlis rasmi, bahasa Inggeris masih diutamakan.

b)    Penggunaan bahasa Melayu yang rendah mutunya. Pengguna bahasa Melayu secara umumnya tidak mempedulikan mutu bahasa Melayu itu sendiri. Aspek mesej yang hendak disampaikan lebih dipentingkan daripada aspek tatabahasa (cara penyampaian). Apabila aspek mesej yang lebih diutamakan, penggunaan tatabahasa dan hukum bahasa akan diabaikan.

c)     Bahasa Melayu juga dianggap kurang mampu menjadi bahasa pengantar ilmu. Ini kerana masih kurang bahan-bahan bacaan ilmiah dalam bahasa Melayu. Pelajar IPTA dan IPTS menggunakan bahan rujukan bahasa Inggeris untuk mendapatkan ilmu.

d)    Masalah kekurangan istilah dalam pelbagai bidang, atau istilah yang kerap berubah. Masalah ini dihadapi oleh para pendidik dan pelajar. Kemuncak masalah ini ialah apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar untuk mengajar Matematik dan Sains di sekolah-sekolah.

e)     Bidang morfologi bahasa Melayu mempunyai beberapa sistem yang tidak konsisten. Misalnya terdapat pengecualian keselarasan vokal bila menggunakan istilah yang berasal dari luar. Terdapat banyak istilah yang sudah biasa digunakan tetapi sebenarnya adalah salah daripada segi morfologi. Contoh: mentua dan bukan mertua. Perkataan mertua adalah salah, namun digunakan dengan meluas, termasuk dijadikan tajuk filem lagenda P.Ramlee yang terkenal iaitu ‘Ibu Mertuaku’.










2 ulasan:

  1. bahasa melayu ialah suatu benda je bukan tanah dan semua

    BalasPadam